Perhatian

Blog ini kurang sesuai dilayari dengan Internet Explorer. Sila Gunakan Mozilla Firefox atau Google Chrome untuk paparan yang terbaik.
‏الكلمة الحكمة ‏ ‏ضالة المؤمن ‏ ‏فحيث وجدها فهو أحق بها
Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Riwayat Tirmizi).
Memaparkan catatan dengan label pendapat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pendapat. Papar semua catatan

Isnin, 3 Januari 2011

Sampaikan Dariku Walaupun Satu Ayat?

بسم الله, الحمد لله, و الصلاة و السلام على رسول الله, عما بعد,


بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

Sesungguhnya Nabi Sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : Sampaikan dariku walaupun satu ayat. (HR Bukhari)

Hadith di atas amat ma’ruf (dikenali) oleh kebanyakan dari kita. Kita biasa mendengar hadith ini di kuliah – kuliah, ceramah – ceramah, tazkirah – tazkirah dan sebagainya. Ana fikir, tidak akan ada mereka yang berfikiran waras yang akan menolak hadith ini yang sudah terang – terang Sohih mengikut disiplin ilmu para ulama hadith.

Tetapi apa yang sedikit dikesali oleh ana ialah penyalahgunaan hadith yang mulia tersebut dengan aktiviti – aktiviti yang tidak sepatutnya. Sebahagian manusia, melalui perkataan mereka tanpa mereka sedar atau tidak cuba mengaitkan perbuatan atau i’tiqad mereka yang salah kemudian menyebarkannya di kalangan masyarakat dengan berslogankan “بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً - Sampaikan dariku walaupun satu ayat”. Sehinggakan perbuatan mereka yang sudah jelas menyelisihi sunnah dan bersumberkan dalil yang tidak sah pun mereka sebarkan. Padahal ianya amat bertentangan dengan perintah junjungan kita (Sollallahu ‘alaihi wa sallam).

Tidakkah mereka sedar, bahawa berbohong atas Nabi itu teramat besar dosanya? Padahal hadith di atas mempunyai sambungannya iaitu;

وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari Bani Isra'il dan itu tidak apa (tidak berdosa). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja maka sediakanlah tempat duduknya di neraka (HR Bukhari)"

Sebahagian mereka tidak segan silu menyampaikan kepada umum perkara yang mereka sendiri tidak ada ilmu tentangnya atau tidak pasti tentang kesahihannya, terutama tentang perkara yang berkaitan dengan agama. Berbicara sesuka hati tanpa meneliti terlebih dahulu kebenaran sesuatu dalil atau sumber.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِع

Telah bersabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Cukuplah seseorang (dianggap) berbohong apabila dia menceritakan semua yang dia dengarkan. (HR Muslim)

Apapun, di sini ana menasihati diri ana sendiri dan juga saudara seagama ana supaya lebih berhati – hati dalam menyampaikan perkara terutama yang berkait dengan agama kita. Janganlah terlalu ghairah untuk menyampaikan sehingga imej agama dilihat jelek kerana kita menyampaikan apa yang tidak benar tentang agama kita yang tercinta ini.


والله أعلم

Jumaat, 1 Oktober 2010

Sukarkah menjawab "Ana Tak Tahu" ?

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله
أما بعد

Ana baru sahaja di 'buang' dari senarai rakan seorang pengguna laman sosial facebook. Apa yang menggelikan hati ana ialah tindakannya membuang ana dari senarai rakannya adalah kerana tidak mampu untuk menjawab dan menolak hujjah yang dibawakan oleh ana.

Aktivis Sifat 20 ini kelihatan kurang senang dengan mereka yang ingin berpegang kepada Manhaj Salaf dalam beragama. Tanpa segan silu beliau menyifatkan ulama yang menisbahkan diri kepada jalan ini sebagai 'Salafi Jadian'. Adapun ana secara peribadi bukanlah penentang sistem pengajian Sifat 13 / 20 ini. Cumanya bila berbicara, tak perlulah kita bermain dengan sentimen sehingga menolak hujjah dan fakta. Tak perlulah buang (delete) hujjah yang diberikan oleh mereka yang berbeza pendapat. ;)

Oh ya, di sini ana bukanlah nak tunjuk hebat, cuma ingin berkongsi sedikit apa yang sepatutnya dilakukan olehnya jika tidak mampu untuk menjawab atau menolak hujjah orang lain. Mari teliti ini wahai sahabat (khas untuk saudara yang mendelete posting ana dan mendelete ana sebagai rakan di facebook) ;)


Pertama: Senyap

Jika kita tidak mampu untuk menjawab pertanyaan orang, hendaklah kita mendiamkan diri sahaja. Jangan menambahkan dosa dengan mencaci maki orang atau membelit - belit seperti ular. Telitilah hadith Nabi (sollalla hu alaihi wasallam) di bawah;

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت - رواه البخاري ومسلم.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia
diam.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Adakalanya lebih baik kita berdiam diri daripada berkata - kata yang menunjukkan kebodohan kita sendiri atau lebih teruk menambahkan dosa kita yang sedia ada. Para ulama bukan maksum, adapun memaki mereka dengan gelaran 'Salafi Jadian' adalah satu langkah yang keterlaluan.

Kedua: Berkata 'Allahu a'lam"

Alangkah lebih baik jika beliau berkata "Ana tak tahu" ataupun "Allahu a'lam" atau barang yang semisal dengannya. Imam Abu Jaafar Ahmad bin Muhammad bin Salamah at-Thohawi menulis dalam kitabnya yang menerangkan tentang aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah antaranya menyebut;

ونقول الله أعلم فيما اشتبه علينا علمه

Kami katakan "Allahu a'lam (Allah lebih mengetahui)" bagi barang yang kesamaran ilmunya atas kami.
Apa salahnya untuk mengaku tidak tahu. Di pondok ana gemar jika sahabat, adik - adik atau para ustaz sendiri bertanya (atau menyoal) tentang hal - hal yang berkaitan dengan agama. Tetapi kebanyakan pertanyaan mereka bukanlah boleh dijawab oleh ana. Ana kebiasaannya menjawab "Allahu a'lam" atau "Ana tak tahu" atau atau yang seumpamanya.. Mudah bukan? Bukankah telah berkata Ibn Mas'ud, "Orang yang memberi fatwa dalam semua soalan yang diajukan kepadanya adalah orang gila". :P

Ketiga: Menggali lagi khazanah ilmu

Ini yang sebaik - baiknya. Jika kita tidak dapat menolak hujjah dari pihak lain, belajarlah lagi. Pesanan ini ditujukan untuk diri ana sendiri juga yang serba dalam kejahilan ini. Kita tak perlu jemu untuk menuntut ilmu terutama ilmu agama suci kita - ISLAM walaupun usia semakin lanjut sekalipun. Semoga ianya menjadi penyebab kita memperoleh syurga sebagaimana yang dijanjikan hadith ini;


Dari Abu Hurairah katanya : Telah bersabda Rasulullah (sollalla hu alaihi wasallam): Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga.
Berkata Imam At-Tirmiziy, Hadith ini Hasan

Apapun harus ingat, janganlah berniat mendapatkan ilmu ini untuk tujuan yang tidak baik seperti bermegah - megah dan sebagainya. Takutlah kita dengan ancaman sepotong hadith di bawah;


Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk menyombongkan diri di hadapan alim ulama' atau untuk berdebat dengan orang - orang jahil atau untuk menarik perhatian manusia maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka
Hadith Riwayat At-Tirmiziy , dan kata Tirmiziy; Hadith ini Gharib adapun dihasankan oleh Syeikh Nashiruddin Al-Albany



Allahu a'lam...

Selasa, 6 Julai 2010

Institusi Pondok - Pro dan Kontra

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله
أما بعد

Bila disebut tentang pengajian pondok, apa yang terlintas di fikiran kita? Kebanyakan dari kita menggambarkan pengajian pondok merupakan suatu pendidikan yang selekeh, kolot, tiada masa depan dan lain - lain persepsi yang buruk - buruk belaka. Persoalannya, apakah semuanya ini benar?

Sejarah Pengajian Sistem Pondok

Sistem pengajian pondok di negara kita bermula sekitar abad ke 20 atau hujung abad ke 19 lagi. Dikatakan Kelantan merupakan negeri yang memulakan sistem pengajian pondok walaupun dari segi sejarah kedatangan Islam, tiada tanda - tanda atau artifak yang menunjukkan kedatangan Islam seperti negeri Terengganu yang terkenal dengan sumber sejarah yang mahsyur iaitu Batu Bersurat. Apapun dikatakan Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah di Pulai Chondong (1820M).

Sistem Pendidikan Pondok

Sistem pengajian pondok yang berasaskan 'talaqqi' kitab - kitab 'thurat' samada kitab - kitab Arab ataupun Melayu (jawi) ini merupakan satu sistem yang telah melahirkan banyak tokoh di tanahair kita dan membasmi buta huruf sebelum kedatangan sistem pengajian dari barat suatu masa dahulu. Sistem pengajian yang menekankan pengajian 'dari kulit ke kulit' ini menjadikan para pelajar lebih memahami sesuatu ilmu itu secara mendalam walaupun ianya mengambil masa yang panjang untuk menghabiskan sesebuah kitab pengajian.

Realiti

Pengajian pondok di zaman yang serba canggih sekarang ini sebenarnya telah banyak berubah. Samada dari segi pengajaran mahupun pelajarnya walaupun sistem pengajian itu sendiri tidak banyak berubah. Pengajian bertalaqqi dan pengajian 'kulit ke kulit' masih diteruskan tetapi institusi pondok kebanyakannya dipenuhi oleh para pengajar, para pelajar dan mereka yang berkaitan dengan institusi ini yang tidak dapat mengangkat atau membela institusi pondok yang diperlekehkan oleh sebahagian masyarakat. Antara penyebabnya ialah;

1. Pihak atasan pondok yang terlalu sibuk dengan aktiviti selain dari mengajar dan mendidik.

Tidak salah untuk para tenaga pengajar menjalankan aktiviti lain untuk mendapatkan rezeki atau berkhidmat untuk masyarakat atau sebagainya, tetapi janganlah sampai mengabaikan para penuntut ilmu terkapai - kapai. Ini dapat dilihat dengan berkuburnya beberapa pondok kerana para guru mereka sibuk untuk 'mengubat orang' ataupun berniaga.

2. Sikap jumud (beku) pihak atasan pondok

Pihak pengurusan atau para pengajar yang tidak bersedia menerima idea - idea baru untuk memperbaiki sistem pengajian merugikan institusi ini sendiri terutamanya para pelajar. Mereka seharusnya bersikap terbuka dalam pelbagai sudut selagi mana tidak bertentangan dengan aqidah dan syariat dan menerima pandangan dari pihak lain dengan dada yang lapang dan mempertimbangkannya. Sikap beku mereka ini sebenarnya menghalang kemajuan sistem pendidikan sebegini.

3. Sikap Ibubapa dan penjaga yang tidak bertanggungjawab

Sebahagian dari ibubapa dan penjaga yang menghantar anak atau tanggungan mereka yang bermasalah sahaja. Mereka mengganggap pengajian pondok sebagai 'pilihan terakhir' bagi anak atau tanggungan mereka. Mereka hanya akan menghantar anak atau tanggungan mereka ke pondok jika anak - anak pelajar itu merupakan pelajar yang bermasalah, terlalu bodoh dan sebagainya. Ini menjadikan institusi pondok dipenuhi oleh mereka yang bermasalah dan sekaligus menambahkan lagi imej buruk terhadap institusi ini.

4. Sikap pelajar yang tidak tahu tujuan mereka belajar

Disebabkan kebanyakan dari mereka dipaksa untuk belajar di pondok, kebanyakannya gagal melihat apa tujuan sebenar mereka belajar yang mengakibatkan sebahagian lepasan pengajian pondok gagal menunjukkan imej yang baik kepada pondok. Ini menambahkan persepsi buruk dari masyarakat.

Penutup & Harapan

Selain dari sebab - sebab di atas, mungkin ada beberapa penyebab lain yang mungkin telah diketahui oleh anda semua yang tidak perlulah dinyatakan di sini seperti sikap pemerintah sendiri yang meminggirkan sistem pendidikan sebegini dan juga sikap masyarakat sendiri yang menjadikan imej sistem pengajian ini semakin buruk.

Apapun diharapkan pihak pengurusan pondok dan para pelajar bersedia untuk berubah supaya lebih terbuka dari segi pengambilan ilmu, sistem pembelajaran dan sebagainya bagi memperbaiki kelemahan yang ada. Bagi pemerintah, ibubapa, penjaga dan masyarakat pula diharap memberi sokongan yang sepatutnya untuk melahirkan generasi berilmu yang bakal turun ke masyarakat untuk memperbaiki kerosakan yang ada.


Allahu a'lam...


Khamis, 1 Julai 2010

Agamawan dan Parti Politik

Baru - baru ini kecoh tentang berita 40 orang ulama muda menyertai Umno pada 25 Jun 2010 yang lepas. Di pondok, ana dapat tahu tentang berita ini pada keesokan harinya. Seorang guru ana mempertikaikan 'keULAMAan' mereka manakala salah seorang lagi guru ana cuma mendoakan mereka diberi petunjuk.



Mungkin agak terlewat untuk ana mengulas tentang isu ini. Apapun ana ambil peluang sementara ada di rumah ni untuk menyatakan pendirian ana tentang isu ini.

Pertama, eloklah kita teliti kenyataan ketua gerombolan tersebut iaitu Ustaz Fadlan Mohd Othman yang mengulas tentang kemasukan mereka ke dalam Umno;
Tujuan utama kami memasuki UMNO adalah untuk berdakwah dari dalam, untuk kebaikan ahli-ahli UMNO yang kami rasakan amat subur untuk proses peningkatan ilmiah, keagamaan dan kerohanian. Bukanlah tujuan kami untuk menimbulkan keresahan mahupun permusuhan di kalangan para pendakwah baik dalam UMNO mahupun dalam mana-mana parti, juga NGO-NGO. Kami hanya ingin mengambil peluang dan menerima janji pihak atasan UMNO yang ada menawarkan ruang luas untuk kami berdakwah. Dengan izin Allah jua, kami akan berusaha sedaya upaya untuk menepati prinsip Ahli al-Sunnah wal-Jama‘ah dalam menyebar kebenaran dan berdakwah.
Bagi ana, kita tak dapat tidak perlu mendahulukan husnu al-dzon (sangka baik) daripada kita mendahulukan lidah kita untuk menuduh yang mungkin secara tidak sedar boleh mencalarkan imej Islam di mata mereka yang bukan muslim. Sepatutnya pihak yang berada dalam jamaah PAS mahupun pihak - pihak dalam Umno sendiri tidak melatah dengan tidak semena - mena bila barisan agamawan muda ini memutuskan untuk menyertai Umno.

Ana percaya, keputusan ini telah menempuhi beberapa perbincangan yang dilakukan dengan disiplin ilmu yang sepatutnya. Walaupun mungkin mereka tersilap dalam melakukan keputusan (apapun kita mengharapkan mereka berjaya dalam usaha mereka) tetapi mereka telahpun berusaha memilih apa yang patut untuk kelangsungan da'wah mereka.

عن عبد الله بن عمرو، وأبي هريرة رضي الله عنهما قالا: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "إذا حكم الحاكم، فاجتهد وأصاب، فله أجران. وإذا حكم، فاجتهد فأخطأ، فله أجر واحد" متفق عليه.
Dari Abdullah bin Amr dan Abu Harairah (radhi-Allahu 'anhuma) berkata : Telah bersabda Rasulullah (sollalla hu alaihi wasallam) : Apabila seseorang hakim memutuskan sesuatu perkara dengan berijtihad, kemudian ijtihadnya itu benar, maka dia akan mendapat dua pahala. Sekiranya hakim itu memutuskan sesuatu perkara dengan berijtihad, tetapi ijtihadnya itu tidak benar, maka dia akan memperoleh satu pahala
Harapan

Harapan ana agar mereka (agamawan muda) ini mengotakan janji mereka, dan bukannya berpolitik dan bertujuan mendapatkan kerusi seperti pendahulu - pendahulu lain yang sibuk mendapatkan jawatan sehingga urusan berda'wah dibelakangkan.

Walaupun kemasukan mereka ke dalam Umno memberi keuntungan kepada sesetengah binatang politik di dalam Umno untuk menaikkan saham mereka, itu tidak bermakna para agamawan ini perlu juga melakukan politik kepartian dan menjadi binatang politik kerana itu merupakan satu tindakan yang amat tidak bijak.

Allahu a'lam...

Rabu, 2 Jun 2010

Kisah Guru dan Murid

Kisah Pertama

Seorang guru sedang mengajar anak - anak muridnya tentang takbiratul ihram dan cara meletakkan tangan semasa qiam. Tiba - tiba seorang murid bertanya ; "Ustaz, kalau angkat takbir gini (mengangkat tangan separas dada dan meletakkan kedua tanya di atas dada) macam Abang Izat buat boleh tak?"
Si guru lalu menjawab; Tak boleh angkat takbir begitu, tangan kena sentuh cuping telinga dan tangan diletakkan (sederkap) di antara dada dan pusat.
Kisah Kedua
Seorang guru lain sedang mengajar bab solat, juga dalam bab takbiratul ihram dan cara meletakkan tangan semasa qiam. Kemudian si guru mensyarahkan; Jangan letak tangan macam orang sejuk gini (sambil meletakkan tangan di atas dada). Ini sembahyang orang Wahabi..!
Ada bebeberapa kisah lagi, tetapi cukuplah dua kisah di atas untuk kali ni. Kaitan kisah - kisah di atas dengan apa yang ingin disampaikan oleh ana ini ialah betapa nazaknya kita dalam bermuamalat dengan ilmu agama yang luas ini. Apa yang dipersoalkan ana ialah, mereka (guru agama) sewajarnya jika hendak menolak amalan orang lain (dan menegakkan cara yang mereka) membawa sekali nas yang sepatutnya. Ini tidak, anak murid yang berlainan dari apa yang diajarkan oleh mereka seakan - akan terkeluar dari lingkungan amalan mereka (yang dianggap shahih)

Kalaupun hendak menghentam atau mengubah anak muridnya yang (dikatakan) tersasar. Datangkanlah dalil - dalil yang menguatkan hujjah. Sedangkan apa yang ana yang mengamalkannya bukan atas dasar ikut - ikutan, melainkan berdasarkan dalil - dalil yang shahih. Bukan main hentam keromo.

Mungkin kata - kata Prof HAMKA (Hj. Abdul Malik Karim Amrullah) dalam 'Pribadi' (1950) sesuai dalam menyatakan pendirian ana (yang sering disindir kerana dikira berlainan dan tersasar)



Di dalam memilih suatu pendirian, pun kita tidak perlu takut akan dibenci orang lain. Sebab hal itu adalah berdasarkan pandangan kita dan penyelidikan kita. Kita pun bersedia mengubahnya, kalau datang alasan yang kuat membantah pendirian kita. Kalau kita telah berani menentukan pendirian, mengapa kita tidak akan berani mengubah pendirian itu? Bukankah yang jadi pokok segala pendirian ialah perihal menuntut kebenaran?

Allahu a'lam..

Isnin, 31 Mei 2010

ASWJ – Antara MemBID'AHkan & MeWAHABIkan.

Kecewa... mungkin itu ungkapan yang paling tepat menggambarkan perasaan ana tentang perkembangan dunia dakwah Islamiyyah di dunia siber ini. Nampaknya teknologi ini mendatangkan lebih banyak keburukan dan permusuhan antara umat Islam sesama sendiri. Seakan tiada hujungnya.

Lambakan blog – blog yang timbul bagaikan timbul cendawan selepas hujan petir, yang mengatas namakan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), atau pun berselindung dibalik ungkapan 'Salafiyah' dan mengatakan merekelah pengikut salaf yang sebenar dan lain – lain slogan manis tidak lebih hanya menimbulkan lebih banyak permusuhan dan kebencian. Sebagai contoh yg dapat dipetik dari blog – blog seperti ini (url blog berkenaan sengaja tidak dinyatakan di sini) ialah;

“kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi berakidah yahudi bukan Islam yang hakiki dari langit
”

Apa ni..? Ana melihat isu ini tidak lebih sebagai menggalakkan perpecahan dalam Islam. Khususnya bagi masyarakat Islam di Malaysia. Apa tujuan antum berblog? Ana tak kisah pun kalau sekadar melontarkan pandangan dan pendirian sendiri. Tetapi janganlah sampai menghalalkan fitnah dan kata – kata kesat semata – mata kerana tidak bersetuju dengan pihak lain yang berbeza pegangan?

Renungkanlah firman Allah di bawah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang - orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang - orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali - kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Maidah : 8)
Semua boleh mengaku Ahlus Sunnah tetapi ketahuilah, sikap dan sifat sebenar Ahlus Sunnah wal Jamaah (ASWJ) ialah tidak memBid'ahkan atau meWahabikan ahli qiblah dengan sesuka hati. Marilah kita kuatkan kesatuan Islam dikala musuh – musuh kita di luar itu pun menyiapkan kekuatan memusnahkan kita.

Wallahu A'lam...


Nota : Artikel di atas di ambil dari blog lama ana dengan sedikit ubahsuai.

Islam: Dalam diri atau cuma kosmetik?

Melihat situasi politik semasa negara trend golongan muda terutamanya menyebelahi pihak ‘Pakatan Rakyat’ menjadi satu fenomena. Apapun, bukan itu yang cuba disampaikan di sini. Dalam melihat sudut yang lebih menumpu, terutama dengan apa yang boleh diistilahkan 'Huru - Hara' dalam gerakan politik terbesar umat Islam di Malaysia iaitu PAS (Parti Islam se-Malaysia)' membuatkan ana terfiir “Adakah ini arah tuju atau zaman kehancuran Pas?”



Gambar Hiasan - Solat Eidul Fitri 1430 di Somalia

Berbondong – bondong manusia menyertai jemaah ini bukanlah jaminan kesejahteraan yang bakal dinikmati samada oleh ahli mahupun negara secara keseluruhan. Sikap orang – orang besar yang saling hentam – menghentam, tikam belakang dan lain – lain sikap yang tak patut ada dalam sebuah jemaah yang mendokong nama Islam. Itu belum lagi persoalan aqidah yang 'cacamarba' dikalangan ahli dan pimpinannya. Bagaimana kita nak dapatkan pertolongan Allah jika keadaan ini berterusan?

Tarbiyyah

Agak pelik juga, kader – kader politik bawahan sentiasa diberi tarbiyyah untuk menyerapkan kefahaman Islam dan perjuangan. Padahal, tugas mereka mungkin tidak lebih sekadar 'Menampal Poster', menjaga lalulintas ketika ceramah umum parti, ataupun menyertai demonstrasi jalanan sahaja. Tetapi mereka yang dibiarkan menjawat jawatan 'pimpinan atasan' seakan dibiarkan jahil dan dungu. Berkelahi sesama sendiri tanpa diberikan tarbiyyah secara Islam.

Tidak..! Ana bukan menentang golongan professional menjadi pimpinan jemaah tersebut, tetapi biarlah 'kepala otak' (tak tahu nak guna istilah lain) mereka kepala otak Islam. Tidak bercampur dengan lain – lain ajaran yang bercanggah dengan Islam. Mungkin kata - kata pemimpin seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin - Hasan Al-Hudaiby boleh memberi gambaran yang tepat dalam isu ini;

"Tegakkan Daulah Islamiyyah di dalam diri kamu, nescaya ia akan tertegak di Tanahair kamu"

Wallahu A'lam...


Nota : Artikel di atas di ambil dari blog lama ana dengan sedikit ubahsuai.

Ahad, 30 Mei 2010

Selamatkah lisan dan tangan kita..?

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ


Dari Abdillah bin 'Amr radiAllahu 'anhuma. Dari Nabi Shollallahu 'alayhi wa Sallam bersabda: Seorang muslim adalah seorang yang kaum Muslimin selamat daripada lisannya dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan barang yang dilarang oleh Allah darinya [HR Al-Bukhariy]
Lihat, apakah kita benar -benar boleh menjadi muslim yang sempurna sedangkan lidah kita sering menyakiti saudara se-Islam kita. Tangan kita juga sering saja menjadikan saudara kita mangsa, samada dengan cara melakukan kekasaran kepada mereka, mahupun melakukan fitnah terhadap mereka (sebagai contoh; dengan cara menulis dan sebagainya)

Kadang - kadang ana sendiri merasakan masih kurang Muslim. Apa tidaknya, baru - baru ni pun seorang saudara telah menjadi mangsa tangan ana (lagi). Huh, betapa lemahnya ana. Nampaknya masih terlalu banyak yang perlu dibaiki terutama dari segi rohani. Kena banyak lagi ngaji kitab - kitab tazkiyatunn nafs (penyucian hati) ni...

Muhajir..? Lagilah jauh. Nak meninggalkan barang yang dilarang memang terlebih sukar. Nabi Shollallahu 'alayhi wa Sallam kata jangan beri atas muka (tampar dsbg) ana gi bagi atas muka. Tak ke jahat tu..? Apa yang dilarang Nabi samalah apa yang dilarang Allah.

Persoalannya, bila kita boleh jadi seorang Muslim atau Muhajir yang sempurna? Tepuk dada, tanya iman..!

Khamis, 27 Mei 2010

Ini Post Pertama

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله
أما بعد


Syukur ke hadrat Ilahi. Ini merupakan entry pertama untuk blog ini. Harapnya dengan blog ini ana dapat istiqomah dan tidak menjadikan blog ini seperti blog - blog ana yang sudah. Hilang fokus dan tak istiqomah langsung. Nak tulis entry yang baru cukup punya susah... Hehe...

Mengenai judul blog ini pula ianya datang sendiri. Seperti yang kita tahu, 'hikmah' di sini bermaksud ilmu, atau boleh juga dipanggil 'sunnah'. Perkataan asing pula sengaja disandarkan sempena sabda Rasulullah Shollallahu 'alaihi wa sallam;

بَدَاَ اْلاِسْلاَمُ غَرِيْبًا سَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَأ فَطُوْبَى للغُرِبَاءِ

Permulaan Islam itu asing, dan akan kembali asing sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah orang yang asing (Hadith Riwayat Muslim dari Abi Hurairah)

Okelah. Cukup sekadar ini sebagai pembuka blog. Insya-Allah, dalam entry yang akan datang kita akan sama - sama berkongsi dalam mengembangkan lagi da'wah Islam di atas mukabumi Allah ini.

Wallahu a'lam...

Catatan Popular