Perhatian

Blog ini kurang sesuai dilayari dengan Internet Explorer. Sila Gunakan Mozilla Firefox atau Google Chrome untuk paparan yang terbaik.
‏الكلمة الحكمة ‏ ‏ضالة المؤمن ‏ ‏فحيث وجدها فهو أحق بها
Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Riwayat Tirmizi).

Isnin, 31 Mei 2010

ASWJ – Antara MemBID'AHkan & MeWAHABIkan.

Kecewa... mungkin itu ungkapan yang paling tepat menggambarkan perasaan ana tentang perkembangan dunia dakwah Islamiyyah di dunia siber ini. Nampaknya teknologi ini mendatangkan lebih banyak keburukan dan permusuhan antara umat Islam sesama sendiri. Seakan tiada hujungnya.

Lambakan blog – blog yang timbul bagaikan timbul cendawan selepas hujan petir, yang mengatas namakan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), atau pun berselindung dibalik ungkapan 'Salafiyah' dan mengatakan merekelah pengikut salaf yang sebenar dan lain – lain slogan manis tidak lebih hanya menimbulkan lebih banyak permusuhan dan kebencian. Sebagai contoh yg dapat dipetik dari blog – blog seperti ini (url blog berkenaan sengaja tidak dinyatakan di sini) ialah;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi berakidah yahudi bukan Islam yang hakiki dari langit

Apa ni..? Ana melihat isu ini tidak lebih sebagai menggalakkan perpecahan dalam Islam. Khususnya bagi masyarakat Islam di Malaysia. Apa tujuan antum berblog? Ana tak kisah pun kalau sekadar melontarkan pandangan dan pendirian sendiri. Tetapi janganlah sampai menghalalkan fitnah dan kata – kata kesat semata – mata kerana tidak bersetuju dengan pihak lain yang berbeza pegangan?

Renungkanlah firman Allah di bawah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang - orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang - orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali - kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Maidah : 8)
Semua boleh mengaku Ahlus Sunnah tetapi ketahuilah, sikap dan sifat sebenar Ahlus Sunnah wal Jamaah (ASWJ) ialah tidak memBid'ahkan atau meWahabikan ahli qiblah dengan sesuka hati. Marilah kita kuatkan kesatuan Islam dikala musuh – musuh kita di luar itu pun menyiapkan kekuatan memusnahkan kita.

Wallahu A'lam...


Nota : Artikel di atas di ambil dari blog lama ana dengan sedikit ubahsuai.

Islam: Dalam diri atau cuma kosmetik?

Melihat situasi politik semasa negara trend golongan muda terutamanya menyebelahi pihak ‘Pakatan Rakyat’ menjadi satu fenomena. Apapun, bukan itu yang cuba disampaikan di sini. Dalam melihat sudut yang lebih menumpu, terutama dengan apa yang boleh diistilahkan 'Huru - Hara' dalam gerakan politik terbesar umat Islam di Malaysia iaitu PAS (Parti Islam se-Malaysia)' membuatkan ana terfiir “Adakah ini arah tuju atau zaman kehancuran Pas?”



Gambar Hiasan - Solat Eidul Fitri 1430 di Somalia

Berbondong – bondong manusia menyertai jemaah ini bukanlah jaminan kesejahteraan yang bakal dinikmati samada oleh ahli mahupun negara secara keseluruhan. Sikap orang – orang besar yang saling hentam – menghentam, tikam belakang dan lain – lain sikap yang tak patut ada dalam sebuah jemaah yang mendokong nama Islam. Itu belum lagi persoalan aqidah yang 'cacamarba' dikalangan ahli dan pimpinannya. Bagaimana kita nak dapatkan pertolongan Allah jika keadaan ini berterusan?

Tarbiyyah

Agak pelik juga, kader – kader politik bawahan sentiasa diberi tarbiyyah untuk menyerapkan kefahaman Islam dan perjuangan. Padahal, tugas mereka mungkin tidak lebih sekadar 'Menampal Poster', menjaga lalulintas ketika ceramah umum parti, ataupun menyertai demonstrasi jalanan sahaja. Tetapi mereka yang dibiarkan menjawat jawatan 'pimpinan atasan' seakan dibiarkan jahil dan dungu. Berkelahi sesama sendiri tanpa diberikan tarbiyyah secara Islam.

Tidak..! Ana bukan menentang golongan professional menjadi pimpinan jemaah tersebut, tetapi biarlah 'kepala otak' (tak tahu nak guna istilah lain) mereka kepala otak Islam. Tidak bercampur dengan lain – lain ajaran yang bercanggah dengan Islam. Mungkin kata - kata pemimpin seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin - Hasan Al-Hudaiby boleh memberi gambaran yang tepat dalam isu ini;

"Tegakkan Daulah Islamiyyah di dalam diri kamu, nescaya ia akan tertegak di Tanahair kamu"

Wallahu A'lam...


Nota : Artikel di atas di ambil dari blog lama ana dengan sedikit ubahsuai.

Ahad, 30 Mei 2010

Selamatkah lisan dan tangan kita..?

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ


Dari Abdillah bin 'Amr radiAllahu 'anhuma. Dari Nabi Shollallahu 'alayhi wa Sallam bersabda: Seorang muslim adalah seorang yang kaum Muslimin selamat daripada lisannya dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan barang yang dilarang oleh Allah darinya [HR Al-Bukhariy]
Lihat, apakah kita benar -benar boleh menjadi muslim yang sempurna sedangkan lidah kita sering menyakiti saudara se-Islam kita. Tangan kita juga sering saja menjadikan saudara kita mangsa, samada dengan cara melakukan kekasaran kepada mereka, mahupun melakukan fitnah terhadap mereka (sebagai contoh; dengan cara menulis dan sebagainya)

Kadang - kadang ana sendiri merasakan masih kurang Muslim. Apa tidaknya, baru - baru ni pun seorang saudara telah menjadi mangsa tangan ana (lagi). Huh, betapa lemahnya ana. Nampaknya masih terlalu banyak yang perlu dibaiki terutama dari segi rohani. Kena banyak lagi ngaji kitab - kitab tazkiyatunn nafs (penyucian hati) ni...

Muhajir..? Lagilah jauh. Nak meninggalkan barang yang dilarang memang terlebih sukar. Nabi Shollallahu 'alayhi wa Sallam kata jangan beri atas muka (tampar dsbg) ana gi bagi atas muka. Tak ke jahat tu..? Apa yang dilarang Nabi samalah apa yang dilarang Allah.

Persoalannya, bila kita boleh jadi seorang Muslim atau Muhajir yang sempurna? Tepuk dada, tanya iman..!

Sabtu, 29 Mei 2010

Rilis Tension

Hari ni dah masuk 3 hari ana duk rumah sejak hari Khamis lepas. Sebenarnya ana teragak - agak juga nak bercuti dan meninggalkan pengajian di pondok. Lebih - lebih lagi terpaksa melepaskan peluang untuk ke kuliah (Solat Rasulullah) di Surau Darussalam & khutbah Jumaat Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani) di Masjid Pinang Merah.

Apapun, mungkin ada hikmahnya. Selain dapat bertemu keluarga, bolehlah ana melepaskan tekanan yang semenjak dua menjak ini menyelubungi diri. Heh, bunyinya macam serius tapi takde apa yang perlu dirisaukan. Ana anggap ini sebagai sunnah mereka yang menuntut ilmu. Lebih - lebih lagi ilmu agama yang kita cintai ni.

Okelah, cukup dulu membebel kali ni.

Wassalam...

Khamis, 27 Mei 2010

Risalah 001 : Aurat






DEFINISI AURAT DI SISI SYARA’

Suatu yang wajib ditutup atau suatu yang haram dilihat. (Fiqh Al-Manhaji A'la Al-Mazhab Al-Imam Syafie',Jilid 1)

HUKUM MENUTUP AURAT

Telah sepakat para ulama tentang WAJIBnya menutup aurat samada bagi lelaki mahupun perempuan.

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]

AMARAN KEPADA MEREKA YANG ENGKAR

Mereka yang enggan menuruti perintah menutup aurat (terutamanya bagi wanita) diancam dengan NERAKA.

"Sesungguhnya termasuk ahli neraka iaitu perempuan-perempuan berpakaian tetapi telanjang (dedah aurat) yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk berbuat maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan cium baunya." (H.R. Muslim)






BERPAKAIAN MENYERUPAI JANTINA LAWAN

Dilarang berpakaian dengan menyerupai cara berpakaian jantina lain, seperti seorang perempuan meniru cara berpakaian lelaki.

"Rasulullah s.a.w. melaknat wanita yang berpakaian menyerupai lelaki dan lelaki berpakaian menyerupai wanita.” (H.R. Bukhari)


BERPAKAIAN MENYERUPAI PAKAIAN ORANG KAFIR

Dilarang berpakaian menyerupai golongan syirik

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Waspadalah kamu dari kemewahan yang berlebihan dan meniru gaya dan pakaian orang syirik." (H.R.Bukhari dan Muslim)

“Barang siapa menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dalam golongan itu” (Hadith Hasan Shahih, HR Abu Dawud)

MELABUHKAN PAKAIAN MELEBIHI BUKU LALI

Bagi kaum lelaki, dianjurkan supaya tidak melabuhkan pakaian melebihi buku lali (isbal)

Dari Al-Mughirah bin Syu'bah rodhiallahu'anhu, beliau berkata, telah bersabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam :

"Wahai Sufyan bin Sahl janganlah kamu melakukan isbal, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berisbal" [Hadits Hasan, dihasankan oleh Syaikh Al-Albani dalam Shahih Ibnu Majah 2876].

Dari Ibnu 'Umar radhiyallahu 'anhuma, Rasulullah Shallallahu 'alayhi waSallam bersabda:

"Barangsiapa menyeret pakaiannya karena sombong maka Allah tidak melihat kepadanya di hari kiamat."

Ummu Salamah radhiyallahu 'anha bertanya:

"Lalu, bagaimana yang mesti dilakukan oleh kaum wanita dengan bahagian hujung pakaiannya?

Rasulullah Shallallahu 'alayhi waSallam menjawab:

"Hendaklah mereka menurunkan satu jengkal!"

Ummu Salamah berkata:

"Kalau begitu telapak kaki mereka tersingkap
jadinya."

Lalu Nabi bersabda lagi

Kalau begitu hendaklah mereka
menurunkan satu hasta dan jangan lebih dari itu!" (Hadith Hasan Shahih, HR. at-Tirmidzi)

Nikah Mut'ah; Apa Hukumnya..?

Artikel diambil dari blog ana yang lama dan dipublish semula di sini dengan sedikit perubahan.

Beberapa hari lepas, ibu kesayangan ana telah bertanya tentang nikah mut'ah. Kemudian ibu menunjukkan sebuah blog yang mempersoalkan tentang isi ni. Untuk melihat post asal blog berkenaan, bolehlah klik
di sini

Nikah mut'ah atau apa yang diistilahkan orang kita sebagai 'nikah kontrak' merupakan satu isu yang amat berat sebenarnya untuk dinyatakan oleh ana. Apatahlagi perbicaraan para ulama tentangnya sangat luas. Apapun, ana rasa ia patut diketengahkan di sini.

Di sini ana cuba menerangkan atau menjawab keraguan yang terlihat dari kenyataan beliau (Dr. Abdul Wahab Arbain) sekadar yang termampu. Jawapan ana ini disusun dengan dimulakan dengan tulisan beliau terlebih dahulu kemudian respon ana kepada kenyataan beliau.

Dr. Abdul Wahab Arbain:

Kahwin mut'ah memang harus dan diamalkan semasa hayat Rasulullah serta disebut dalam al-Qur'an. Tiada umat Islam yang mempertikaikan hal ini. Namun, golongan ahlus sunnah wal jama'ah kata ia telah dibatalkan oleh Rasulullah atau oleh saidina Umar.

Jawapan:

Memang benar, nikah mut'ah pernah dilakukan pada zaman Rasulullah. Antara dalilnya ialah hadith di bawah ini;


عَنْ جَابِر بْن عَبْد اللَّه وَسَلَمَة بْن الْأَكْوَع قَالَا : خَرَجَ عَلَيْنَا مُنَادِي رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : قَدْ أَذِنَ لَكُمْ أَنْ تَسْتَمْتِعُوا


Jabir bin Abdullah radhi-Allahu 'anhu berkata: Tukang azan Rasulullah sollalla hu alaihi wasallam telah menemui kami dan berkata: Sesungguhnya Rasulullah sollalla hu alaihi wasallam telah mengizinkan kamu menikmati mut'ah iaitu mengahwini perempuan secara mut'ah iaitu mengahwini mereka untuk suatu tempoh tertentu (Hadith riwayat Muslim)

Bagaimanapun, ianya telah diharamkan oleh Nabi sepertimana hadith di bawah;

‏ ‏عن ‏ ‏علي بن أبي طالب ‏
‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏نهى عن ‏ ‏متعة النساء ‏ ‏يوم ‏ ‏خيبر ‏ ‏وعن أكل لحوم الحمر الإنسية ‏


Ali bin Abi Talib radhi-Allahu 'anhu: Sesungguhnya Rasulullah sollalla hu alaihi wasallam melarang umat Islam berkahwin secara mut'ah pada hari peperangan Khaibar. Rasulullah sollalla hu alaihi wasallam juga melarang dari memakan daging keldai jinak/peliharaan pada hari tersebut (Hadith riwayat Muslim)

Ini membawa maksud nikah mut'ah diharuskan pada awal Islam untuk keperluan ketika itu kemudian Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam mengharamkannya untuk selama-lamanya hingga hari Kiamat. Malah pengharaman Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam dilakukan dua kali. Pertama pada waktu Perang Khaibar tahun 7 H, dan yang kedua pula pada Fathu al-Makkah, tahun 8 H.

Dr. Abdul Wahab Arbain:

Bagi golongan syi'ah ia tetap harus. Kerana Rasulullah tiada kuasa membatalkan hukum Allah atau Rasulullah tidak pernah mengatasi Allah. Jauh sekali taraf saidina Umar dari taraf Allah. Jadi, syi'ah tetap mengatakan mut'ah adalah harus dan dakwaan pembatalan adalah palsu dan bertentangan dengan akidah. Maksudnya, adakah anda percaya yang Rasulullah lebih berkuasa daripada Allah? Adakah sidina Umar lebih tinggi darjatnya dari Allah hingga dia boleh membatalkan hukum Allah?

Jawapan:

Seperti yang diberitahu tadi, pengharaman nikah mut'ah bukanlah dilakukan oleh Umar radhi-Allahu 'anhu Tidak benar tuduhan yang mengatakan Umar atau Rasulullah sengaja membatalkan hukum Allah. Tidak timbul soal ahlus sunnah mengatakan Rasulullah atau Umar lebih berkuasa atau lebih tinggi darjatnya daripada Allah. Telilitah firman Allah Azza wa Jalla;


وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ (3 ) إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡىٌ۬ يُوحَىٰ

Dan tidaklah yang diucapkannya itu dari hawa nafsunya. Ucapannya itu tidak lain adalah apa yang diwahyukan kepadanya. (surah An-Najm, ayat ke 3 & 4)

Maka tidak perlulah terpengaruh dengan fahaman agama Syiah yang lebih gemar mengikut nafsu mereka dari mematuhi apa yang telah ditetapkan Allah dan Rasulnya. Takutlah kita dengan firman Allah Azza wa Jalla;


وَمَآ ءَاتَٮٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَہَٮٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ


Apa yang datang dari Rasul kepadamu maka terimalah dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu sangat keras hukuman-Nya (surah Al-Hasyr, ayat ke 7)

Ulama ahlus sunnah telah ijma' dalam pengharaman nikah jenis ini dan beberapa jenis nikah lagi.

Dr. Abdul Wahab Arbain:

Walaupun ahlus sunnah wal jama'ah mengharamkan mut'ah, tetapi mereka mempunyai banyak jenis perkahwinan yang jarang didedahkan, kecuali akhir-akhir ini. Antaranya kahwin urfi (di Mesir, banyak orang Melayu yang berduit melakukannya), kahwin niat cerai dan kahwin misyar. Setiap jenis itu ada pula sub-jenisnya.

Jawapan:

Persoalan keharusan jenis nikah yang lain bagi ahlus sunnah sepatutnya tidak timbul kerana ianya memang mempunyai dasar dari Allah (melalui Al-Quran) dan Rasulullah (Melalui hadith - hadith). Kita sebagai mereka yang mengaku sebagai ahlus sunnah perlu berjaga - jaga dengan keraguan yang sengaja ditimbulkan Syiah mengenainya.

Allahu a'lam...

Ini Post Pertama

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله
أما بعد


Syukur ke hadrat Ilahi. Ini merupakan entry pertama untuk blog ini. Harapnya dengan blog ini ana dapat istiqomah dan tidak menjadikan blog ini seperti blog - blog ana yang sudah. Hilang fokus dan tak istiqomah langsung. Nak tulis entry yang baru cukup punya susah... Hehe...

Mengenai judul blog ini pula ianya datang sendiri. Seperti yang kita tahu, 'hikmah' di sini bermaksud ilmu, atau boleh juga dipanggil 'sunnah'. Perkataan asing pula sengaja disandarkan sempena sabda Rasulullah Shollallahu 'alaihi wa sallam;

بَدَاَ اْلاِسْلاَمُ غَرِيْبًا سَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَأ فَطُوْبَى للغُرِبَاءِ

Permulaan Islam itu asing, dan akan kembali asing sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah orang yang asing (Hadith Riwayat Muslim dari Abi Hurairah)

Okelah. Cukup sekadar ini sebagai pembuka blog. Insya-Allah, dalam entry yang akan datang kita akan sama - sama berkongsi dalam mengembangkan lagi da'wah Islam di atas mukabumi Allah ini.

Wallahu a'lam...

Catatan Popular